Erra Fazira

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Erra Fazira
Erra Fazira.jpg
Kelahiran
Fazira binti Wan Chek

(1974-02-09) 9 Februari 1974 (umur 47)
Pekerjaan Pelakon, penyanyi, pengacara
Tahun aktif 1992—kini
Karya
Lihat senarai penuh
Pasangan Yusry bin Abdul Halim (k. 2003; c. 2006)
Engku Emran Engku Zainal Abidin (k. 2007; c. 2014)
Anak Engku Aleesya
Ibu bapa
  • Wan Chek (bapa)
  • Azizah Zaik (ibu)
Kerjaya muzik
Genre
Instrumen
  • Vokal
Syarikat rakaman
Sony Music Malaysia

Datin Fazira binti Wan Chek (lahir 9 Februari 1974) atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira ialah seorang peragawati, pelakon, penyanyi, pengacara, penerbit dan bekas ratu cantik Malaysia. Dilahirkan dan dibesarkan di Rawang, Selangor, Erra memulakan kerjaya profesionalnya pada 1992 dengan menyertai pertandingan Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 dan memenangi gelaran tersebut. Setelah itu beliau mula diintai ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan kaca televisyen. Pada tahun 1993, Erra dipilih untuk membintangi filem arahan Yusof Haslam berjudul Sembilu di samping pelakon dan penyanyi popular Awie dan Ziana Zain. Tidak lama selepas penggambaran, Erra merakamkan album EP pertamanya yang menggunakan namanya sebagai judul album dan didahului dengan single sulungnya "Cinta Abadi" pada tahun 1994. Pada tahun yang sama, beliau melancarkan kerjaya lakonannya dengan lakaran kejayaan apabila filem sulungnya itu mencatat kutipan pecah panggung, sejak itu beliau diberi jolokan sebagai "Primadona Filem Melayu Alaf Baru" sejak tahun 1994 hingga kini apabila deretan filem-filem lakonannya selepas itu turut mencatat kejayaan, suatu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana aktres tempatan selepasnya.

Erra telah muncul dalam beberapa filem terkenal termasuk Gerak Khas The Movie (2000), Janji Diana (2004), KL Menjerit 1 (2005), Cuci (2007) dan Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan pecah panggung keseluruhan filemnya sudahpun mencecah RM100 juta. Menerusi dua buah filem, Soal Hati (2000) dan Hingga Hujung Nyawa (2004) , Erra telah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia. Di dalam kerjaya muziknya, Erra telah menerbitkan sebanyak 6 album studio, 2 album EP serta beberapa album runut bunyi dan album himpunan. Sepanjang kerjayanya, Erra telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kerjaya muzik, televisyen dan filem termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin.

Beliau berkahwin sebanyak dua kali, iaitu bersama penyanyi Yusry Abdul Halim (kini berkahwin dengan Lisa Surihani) dari 2003 hingga 2006, dan perkahwinan keduanya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin (kini berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Chintya Bella) dari 2007 hingga 2014, dikurniakan seorang anak perempuan bernama Engku Aleesya.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan pada 9 Februari 1974 di Sungai Choh, Rawang, Selangor kepada pasangan Wan Chek dan Azizah Zaik. Erra berketurunan Melayu yang berasal dari Bangkahulu, Sumatera dari sebelah bapanya manakala ibunya anak jati Selangor. Erra Fazira merupakan seorang yang aktif di sekolah dan menyertai banyak persatuan seperti Pengakap, St. John Ambulans Malaysia, Kelab Kebudayaan, dan Kelab Bahasa Inggeris. Beliau juga aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolah dalam acara sukan bola jaring. Erra sering bertukar sekolah disebabkan menghadapi perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Erra pernah bersekolah bersama pelakon Umie Aida di SMK Puteri Melawati, Kuala Lumpur. Erra Fazira juga pernah bercinta dengan Awie dari Kumpulan Wings.[1]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Erra Fazira menunjukkan minat menyanyi dan menari sejak kecil. Pada tahun 1992, Erra menyertai pertandingan Malaysia World 1992. Beliau memenangi gelaran tersebut sekaligus mewakili negara ke peringkat akhir di Botswana, Afrika. Erra mempunyai ketinggian 168 sentimeter.

Bakat nyanyian Erra dikesan oleh penyanyi popular 80-an, Dayangku Intan. Erra mula aktif menyanyi di pesta ria sebelum berjaya mendapat kontrak rakaman Polygram Records. Pada tahun 1994, Erra melancarkan album EP sulung eponim yang menggunakan namanya sebagai judul album, dengan dua single yang dikeluarkan—"Cinta Abadi" dan "Bebaskan Dirimu".

Namun akibat populariti yang melonjak naik setelah bergelar Ratu Cantik Malaysia, Erra terlebih dahulu menerima tawaran untuk muncul dalam watak utama filem Sembilu arahan pengarah Datuk Yusof Haslam. Filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung sekaligus melonjakkan nama Erra sebagai aktres paling popular sebaris dengan aktres zaman itu seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Sofia Jane dan Tiara Jacquelina.

Beliau kemudiannya menjadi artis rakaman Polygram Records untuk memulakan kerjayanya sebagai penyanyi. Lagu Cinta Abadi menjadi salam perkenalan kepada peminat pada lewat tahun 1994. Beliau kemudiannya merakamkan dua lagi album bersama Polygram sebelum meninggalkan label tersebut untuk menyertai Sony Music. Album studio pertama beliau Aku dan Dia dilancarkan pada 1995 dengan single hits "Yang Terindah Hanyalah Sementara", dan diikuti oleh 2.5 Sayang pada 1996 dengan lagu "Pertemuan" sebagai single pertama.

Selepas Sembilu dan Sembilu 2, Erra meneruskan rentetan kolaborasinya bersama Datuk Yusof menerusi watak Maria dalam filem Maria Mariana (1996) dan kesinambungannya Maria Mariana II (1998). Pada tahun 1998, Erra menubuhkan syarikat sendiri, Erra Fazira Entertainment Sdn Bhd untuk menguruskan persembahan dan kerjaya lakonannya. Beliau kemudiannya menyertai Sony Music Entertainment Malaysia pada 1998 dan seterusnya muncul bersama album Kini. Pada tahun tersebut juga Erra menjayakan konsert solo pertamanya "Konsert Live Bersama Erra Fazira" di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera Kuala Lumpur yang disaksikan oleh 2,000 penonton.

Erra Fazira semasa sesi fotografi.

Pada 8 Januari 2000, Erra membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam yang mana beliau memegang watak utama, Farah Diba, seorang gadis biasa menjadi seorang peragawati terkenal setelah dia dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia. Dalam filem ini, beliau digandingkan bersama Norman Hakim yang memegang watak Hafsham, kedua-keduanya kemudiannya berlakon bersama dalam filem Gerak Khas The Movie, juga arahan Yusof.[2][3][4] Beliau kemudiannya berlakon bersama Afdlin Shauki dalam filem Soal Hati, dengan menjayakan peranan Nurul Ain. Peranan beliau dalam filem ini melayakkan Erra memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13.

Single beliau, "Sandarkan" di samping lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza "Lakaran Kehidupan" (dari album Safa) telah dipilih oleh TV3 sebagai sebahagian daripada kempen 3D bagi mengumpul dana untuk Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. Muzik video bagi kedua-dua lagu ini difilemkan dalam 3D di mana penonton TV3 memakai kaca mata 3D bagi menontonnya.[5][6]

Pada 25 Oktober 2001, Erra meminjamkan suaranya untuk watak Putih dalam filem animasi Putih arahan Rashid Sibir yang berdasarkan daripada cerita rakyat "Bawang Putih Bawang Merah". Filem terbitan Fine Animation ini turut menampilkan lakonan suara M. Nasir, Raja Azura, Wan Maimunah dan Mustapha Maarof.[7][8]

Pada 3 April 2002, album kelima Erra, Sampai Bertemu dilancarkan. Lagu "Sampai Bertemu" dikeluarkan sebagai single pertama dan telah terpilih menduduki carta di beberapa stesen radio termasuk Manis FM, Radio Muzik, RMKL dan Best 104. Tenaga kerja album ini terdiri daripada Rosli Selasih, KRU, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, Habsah Hassan, dan Amran Omar.[9] . Kelab peminat Erra iaitu "Bersama Erra" juga mula dirasmikan pada tahun 2002 sempena album tersebut dimana ia merupakan gabungan peminat yang aktif menyokongnya secara tidak rasmi sejak 1995. Kelab peminat ini bertahan hingga kini dengan pelbagai aktiviti diadakan bersama Erra.

Pada 29 Ogos 2002, Erra dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim digandingkan buat pertama kali di layar lebar menerusi filem komedi romantik, Mr. Cinderella arahan Ahmad Idham. Selepas itu, beliau dan Afdlin Shauki mengulangi peranan masing-masing dalam kesinambungan filem Soal Hati (2000), Soalnya Siapa yang membuka tayangan di pawagam pada 25 Disember 2002.

Erra mengorak langkah menjadi penerbit filem apabila bekerjasama dengan Metrowealth Movies Production untuk filem Cinta Kolestrol. Filem yang menuntut Erra mencuba mekap latex ini mencatat kutipan pecah panggung RM3.8 juta , malah sebagai penerbit, Erra meraih anugerah Filem Box Office di Festiva Filem Malaysia ke-17, dimana ia merupakan anugerah FFM pertama buat Erra di luar bidang lakonan.

Erra juga mempunyai peranan undangan khas dalam filem aksi komedi, MX3 lakonan Saiful Apek, Zul Yahya dan Faizal Hussein arahan Yusof Kelana.[10][11]

Pada 16 Januari 2004, Erra melancarkan album studio keenamnya, Kini Kembali yang mengandungi 12 lagu, termasuk lagu duet bersama Yusry KRU "Jika Kau Tiada" dan sebuah lagu minus one, "Hanya Di Mata". Erra muncul dengan watak berat Nora Halim dalam filem Hingga Hujung Nyawa arahan A. Razak Mohaideen. Menerusi watak ini Erra perlu memeran watak di peringkat umur berbeza iaitu daripada remaja hingga ke warga emas. Menerusi filem ini Erra meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM buat kali kedua, menewaskan beberapa saingan sengit pada ketika itu.

Erra bergandingan kembali bersama Afdlin Shauki dalam filem Gila-Gila Pengantin Popular, kerjasama kedua Erra di bawah arahan Aziz M. Osman. Setelah itu Erra juga kembali bergandingan dengan Rosyam Nor menerusi sekuel KL Menjerit 1. Erra juga berpeluang mengadakan konsert solo di Perth, Australia pada 2005. Konsert "Erra Fazira Live in Perth" itu dihadiri oleh ramai warga Australia berketurunan Melayu serta rakyat Malaysia dan Indonesia yang bermastautin di sana. Yusry Abdul Halim turut menemani Erra dalam dua buah lagu duet mereka.

Beliau kembali bergandingan dengan Rosyam Nor menerusi filem Castello yang ditayangkan pada 9 Januari 2006, memegang watak sebagai Chalita, seorang wanita Thai dan isteri kepada Castello dan ibu kepada Phim. Filem ini turut dibintangi oleh Que Haidar dan Liyana Jasmay dan menerima tajaan daripada Biskut Julie’s yang turut mengeluarkan produk biskut Julie’s Castello bagi mempromosikan filem ini.[12]

Erra mula mengumpul bahan terbaru untuk album studio ketujuhnya, Ya Atau Tidak. Album ini dikeluarkan pada 12 Jun 2006 merupakan album studio terakhirnya dalam kerjayanya sebagai penyanyi. Ya Atau Tidak mengandungi 10 lagu baru termasuk sebuah lagu yang dirakamkan dalam bahasa Bangkahulu, iaitu "Wang Kite Gale".[13]

Beliau bersama-sama Aaron Aziz dan Lisa Surihani menandatangai kontrak Wajah Eksklusif Astro sekaligus menandakan Erra bersedia untuk muncul sebagai pelakon TV.[14]

Kerjaya filem Erra agak menurun setelah membuat kemunculan di kaca televisyen dan berumahtangga buat kali kedua dan melahirkan anak. Erra banyak muncul dalam drama komedi romantik dan juga menjadi pengacara untuk beberapa program TV terbitan Astro.

Namun pada 2011, Erra membuat kemunculan dalam filem langganan di Astro Citra Eksklusif iaitu Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus, bergandingan bersama Nam Ron. Filem berlatar belakangkan era awal kurun ke20 ini merupakan adaptasi daripada kisah mitos lagenda Che Aminah yang berkahwin dengan 100 lelaki untuk membunuh mereka bagi mengekalkan kecantikan. Menerusi filem ini Erra meraih pencalonan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2011 yang berlangsung di Singapura. Setelah itu Erra muncul sekali lagi dalam filem langganan arahan Sabri iaitu Parut Asyikin bergandingan buat pertama kali dengan aktor hebat Eman Manan.

Sejak 2018, beliau menjadi salah seorang pelakon utama Gerak Khas, memegang watak sebagai ASP Jeslina. Beliau bersama Norman Hakim dan Siti Elizad mengacarakan rancangan Mingguan Wanita di Astro Prima, berdasarkan daripada majalah terbitan Karangkraf dengan tajuk sama.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Erra menjalin hubungan cinta bersama aktor dan penyanyi rock, Awie setelah sama-sama membintangi filem Sembilu. Mereka melangsungkan pertunangan pada 1996 sebelum akhirnya putus tunang dengan episod kontroversi pada hujung 1998.[15] Awie kemudiannya berkahwin dengan penyanyi muda Arni Nazira Anuar pada Disember 1998.[16][17]

Erra kemudiannya bercinta dengan penyanyi kumpulan KRU, Yusry bin Abdul Halim setelah sama-sama menjalani sesi fotografi majalah pada 2001.[18]

Erra Fazira diijabkabulkan dengan Yusry pada 15 Jun 2003 di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Pada 16 Jun 2006, perkahwinan mereka disahkan berakhir apabila Yusri mengaku di hadapan hakim syari'e bahawa beliau sendiri melafazkan talak satu kepada isterinya pada 26 April 2006 di kediaman mereka.[19][20]

Pada Jun 2007, beliau sekali lagi menjadi fokus episod kontroversi apabila beliau menjadi subjek cerita orang ramai apabila aktor Hans Isaac mengumumkan dia sudah tidak bercinta dengan Erra.[21] Sebelum itu, baik Erra mahupun Hans; masing-masing menafikan mempunyai ikatan cinta. Kisah itu terus panas apabila Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin dikaitkan sebagai punca keretakan hubungan Erra dan Hans.[22]

Perkahwinan di antara Erra dan Emran pada Oktober 2007 menamatkan spekulasi media. Bekas ratu cantik sebelum itu sah menjadi tunangan Engku Emran dalam satu majlis sederhana di kediamannya di Damansara Kim pada 7 September 2007. Setelah hampir dua tahun menjalani kehidupan tanpa suami, Erra Fazira akhirnya selamat diijabkabulkan dengan Emran di Restoran Puteri. Hanya senaskah al-Quran sebagai hantaran perkahwinan.

Pada Mac 2009, Erra dan Emran dikurniakan cahaya mata bernama Engku Aleesya. Pun begitu, kisah anak sulung Erra ini menjadi bualan media apabila Erra dikatakan menyorokkan anaknya daripada media selama tempoh berpantang. Pada majlis cukur jambul Aleesya, Erra mengumumkan beliau dan suami serta anak akan muncul dalam rancangan realiti Gugu Gaga Erra sekaligus menjadikan Erra sebagai artis Malaysia pertama yang menjalani rancangan realiti mengenai anak sulungnya.

Pada 17 Februari 2014, Erra dan Emran telah sah bercerai dengan talak satu.[23]

Imej dan legasi[sunting | sunting sumber]

Erra kini terus dijulang sebagai Primadona Filem Melayu biarpun dibanjiri oleh ramai muka-muka baru, malah populariti Erra sebagai aktres terus harum dan dikenang sebagai aktres paling berpengaruh di dalam sejarah perfileman melayu. Erra bukan sahaja seorang aktres tetapi juga bakat serba bolehnya dikenang menerusi hasil kerjanya sebagai penyanyi, penciptaan lagu, pengarah muzik video, penerbit filem dan TV serta pengacaraan. Erra juga merupakan aktres yang menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Sehingga 2020, kutipan keseluruhan kesemua filem lakonan Erra mencecah RM 100 juta sekaligus menjadi aktres tempatan pertama menyertai paras ini.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Selain bergelar pelakon, Erra juga seorang penyanyi pop yang popular di Malaysia dan negara serantau. Beliau telah merakam 7 buah album studio yang mengandungi beberapa lagu hits yang menduduki carta teratas di Malaysia dan Indonesia. Beliau juga banyak merakamkan lagu-lagu runut bunyi untuk filem. Erra pernah membuat dua buah konsert solo iaitu pada 1999 di Kuala Lumpur dan 2006 di Perth, Australia.

EP
Album studio

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jane Ritikos. "Awie Bongkar Kisah Perceraian", mSTAR Online, 19 Oktober 2006. Retrieved on 16 Februari 2013.
  2. ^ "Pasrah gabungan formula dua filem". Utusan Malaysia. 22 Disember 1999. Dicapai pada 22 Disember 2011.
  3. ^ "Pasrah filem terbaru Yusof Haslam". Utusan Malaysia. 1 Jun 1999. Dicapai pada 22 Disember 2011.
  4. ^ A. Wahab Hamzah (14 Januari 2000). "Pasrah mentaliti pembikin atau penonton?". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Disember 2011.
  5. ^ "TV3 lancar kempen 3D", Utusan Malaysia, 2001.
  6. ^ "3D campaign launched to raising funds", New Straits Times, 2001.
  7. ^ "Putih - Kesegaran baru dalam animasi". Utusan Malaysia. 16 November 2001. Dicapai pada 16 November 2011.
  8. ^ Khadijah Ibrahim (22 Oktober 2001). "Putih filem animasi sasar RM10 juta". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Oktober 2011.
  9. ^ "Jawapan Erra Fazira kepada pengakuan Yusry - "Bakal suami saya tidak semestinya artis". Utusan Malaysia. 21 April 2002. Dicapai pada 22 Oktober 2011.
  10. ^ "MX3 filem terbaru Yusof Kelana". Utusan Malaysia. 21 Mac 2003. Dicapai pada 3 Februari 2018. Selepas berehat panjang daripada mengarah filem, Yusof Kelana bangun semula dengan filem terbaru arahannya, MX3. Seperti kelaziman beberapa syarikat filem lain dan senario pasaran kini, pendekatan yang diambil adalah bercorak komedi penyiasatan.
  11. ^ "Sembilan hari tayangan - Mampukah MX3 balik modal?". Utusan Malaysia. 3 November 2003. Dicapai pada 3 Februari 2018.
  12. ^ "Julie's - Selamatkan Castello", Utusan Malaysia, 08 May 2005, by Khadijah Ibrahim. (in Malay)
  13. ^ Erra Fazira luahkan perasaan dalam lagu (30 Mei 2006). Dicapai pada 22 Julai 2010.
  14. ^ Haryati Karim (5 November 2009). Dapat pendapatan lumayan Kosmo!. Dicapai pada 8 November 2009.
  15. ^ Amirah Amaly Syafaat (13 Mac 2016). "Awie dan Erra "bercinta" lagi". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Oktober 2016.
  16. ^ Mya Amri (12 Februari 2018). ""Teringat Cerita Sembilu" – Peminat Tak Sabar Nak Tengok Awie Dan Erra Fazira". Astro Gempak. Dicapai pada 13 Februari 2018.
  17. ^ "Awie dan Erra kembali mesra". Berita Harian Singapura. 14 Mac 2016. Dicapai pada 13 April 2016.
  18. ^ Yusry and Erra to get engaged The Star Online. 27 Februari 2003.
  19. ^ Yusry-Erra Fazira sah bercerai Norazlita Mohd. Sies. Utusan Malaysia. 17 Jun 2006.
  20. ^ Erra, Yusry sah cerai talak satu Norazlita Mohd. Sies. Utusan Malaysia. 11 Julai 2006.
  21. ^ Budiey (23 Julai 2007). "Gossip Erra Fazira & Hans Isaac Sensasi Gambar Kenangan". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 18 Februari 2014.
  22. ^ Tengku Khalidah Tengku Bidin (15 Julai 2007). "Hati saya sangat terguris – Erra" Utusan Malaysia. Diperoleh pada 13 Ogos 2007.
  23. ^ Nor Azura Abdul Jalil (18 Februari 2014). "Erra Fazira bercerai talak satu". myMetro. Dicapai pada 18 Februari 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Anugerah dan pencapaian
Didahului oleh
Amy Mastura
menerusi Puteri Impian
Festival Filem Malaysia - Aktres Terbaik
2001
menerusi Soal Hati
Diikuti oleh:
Umie Aida
menerusi Embun
Didahului oleh
Nasha Aziz
menerusi Trauma
Festival Filem Malaysia- Aktres Terbaik
2005
menerusi Hingga Hujung Nyawa
Diikuti oleh:
Sharifah Amani
menerusi Gubra
Didahului oleh
Sofia Jane
Anugerah Bintang Popular Berita Harian- Pelakon Filem Wanita Popular
1994 - 1995
Diikuti oleh:
Ziana Zain
Didahului oleh
Amy Mastura
Anugerah Bintang Popular Berita Harian- Pelakon Filem Wanita Popular
2000 - 2004
Diikuti oleh:
Maya Karin